7 MAC — Masalah Melayu Pulau Pinang yang dikatakan terpinggir biasanya dibangkitkan setiap kali menjelang Perhimpunan Agung Umno. Agenda siapa, tak tahulah. Selepas itu suara-suara marah reda sehinggalah tahun berikutnya.
Namun selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008, isu Melayu Pulau Pinang yang biasanya timbul setahun sekali, secara tiba-tiba golongan ini menjadi terpinggir dan ditindas setiap hari; setidak-tidaknya itulah yang dilaporkan oleh media arus perdana saban hari.
Agendanya adalah untuk memperlihatkan kepada orang Melayu, terutamanya mereka yang berada di luar Pulau Pinang, betapa kejam dan zalim kerajaan negeri pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang telah dituduh anti-Melayu dan anti-Islam.




