17 MAC — Di dalam rencana saya, Visiting the Malay “Rights”, (versi Bahasa Malaysianya) saya telah mengupas peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam artikel 153, Perlembagaan Persekutuan. Saya telah nyatakan bahawa mengikut peruntukan artikel 153, orang-orang Melayu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa “hak” istimewa.
Apa yang wujud hanyalah “kedudukan” istimewa orang-orang Melayu dan juga kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Secara amnya, kedudukan istimewa itu tidak memberikan apa-apa hak yang diiktiraf undang-undang kepada orang-orang Melayu.
Khususnya, apa yang terdapat di dalam artikel 153 tersebut ialah kuasa yang diberikan kepada Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memastikan tempat-tempat di pusat pengajian tinggi dan perkhidmatan awam direzabkan untuk orang-orang Melayu dan juga kaum pribumi Sabah dan Sarawak seperti mana ataupun setakat mana yang Baginda dapati munasabah.




