Dialog: Pak Lah gesa Hadi buat pendirian, bukan Nik Aziz

KEPALA BATAS, Feb 7 - Bekas perdana mentri Tun Abdullah Ahmad Badawi menggesa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar menyatakan pendiriannya berhubung cadangan mengadakan pertemuan antara parti itu dan Umno seperti yang disuarakan semula oleh Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bekas presiden Umno itu memberitahu sebarang ketetapan sama ada mahu mengadakan pertemuan seumpama itu bergantung kepada keputusan Presiden PAS sendiri dan bukannya mengikut kata putus Nik Aziz yang juga Mentri Besar Kelantan.

“Umno sentiasa bersedia untuk berbincang berhubung isu itu dan sekiranya kepimpinan PAS pusat bersetuju untuk mengadakan pertemuan berkenaan, perkara itu wajar di teruskan.

“Pertemuan itu satu tindakan yang baik dan PAS perlu melihat perkara itu dari sudut yang positif jika mahu mengadakan pertemuan sedemikian,” kata beliau di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz yang mahu Umno dan PAS menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja bagi membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam.

Di Kuching hari ini, Hadi berkata PAS bersedia untuk berbincang dengan Umno dalam perkara yang parti pembangkang tersebut dapat bekerjasama, termasuk isu yang berkaitan dengan keselamatan negara, ekonomi, agama dan politik.

Beliau berkata amalan tersebut telah menjadi dasar PAS, yang berpanjangan secara praktikal, di mana kepimpinan parti mengemukakan pandangan serta pendirian mereka terhadap sesuatu isu.

Comments (8)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links