Bertarung di `mahkamah rakyat’, kata Nizar

PUTRAJAYA, Feb 9 — Datuk Seri Nizar Jamaluddin mencabar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan bertarung di “mahkamah rakyat” bagi menentukan populariti pengundi.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang berkumpul di pekarangan Mahkamah Persekutuan tengah hari tadi.

Bercakap pada sidang media sebelum itu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya berhubung Menteri Besar Perak yang sah tidak dapat menyelesaikan kemelut Perak.

Sehubungan itu, kata beliau, DUN Perak perlu dibubarkan supaya dipilih semula wakil untuk menyelesaikan masalah yang berlaku itu.

Begitupun, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ini menerima keputusan mahkamah itu.

“Kita terima keputusan mahkamah walaupun ia menyedihkan bagi kita,” ujarnya yang juga Adun Pasir Panjang.

Beliau juga menyeru rakyat supaya bertenang dan jangan ada yang bertindak dan melakukan provokasi.

Baginya, keputusan itu merupakan petanda amat hitam di Malaysia kerana rakyat negeri Perak mahu diberi ruang sebesar-besarnya untuk memilih pemimpin negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyifatkan mahkamah belum lagi bebas daripada pengaruh pihak-pihak tertentu.

“Keputusan ini tidak menyelesaikan kemelut negeri Perak. Keputusan ini juga ketepikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, ia juga menjadi demokrasi lebih kusut,” kata beliau sambil menambah, PR akan memperhalusi dan meneliti keputusan tersebut.

Comments (4)Add Comment

Write comment

busy