KOTA BARU, Nov 21 - PAS Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menyifatkan ia tidak ada kena mengenai soal politik.
Setiausaha Badan Perhubungannya Mohd Zaki Ibrahim berkata parti itu yakin Nik Aziz mampu menyelesaikan sendiri isu berkaitan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan menunaikan haji ke Tanah Suci.
Semalam, Ariffahmi yang dihubungi The Malaysian Insider menafikan yang beliau telah diminta oleh Menteri Besar Kelantan itu agar meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang kini menjadi tumpuan kontroversi.
Minggu lalu Nik Aziz membatalkan hasrat menunaikan haji, yang ditaja individu tertentu, ekoran pertikaian pelbagai pihak.
“PAS Kelantan tidak pernah membincangkan soal ini kerana ia bukan perkara politik, sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar,” kata Mohd Zaki kepada pemberita selepas mesyuarat badan perhubungan parti itu di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini hari ini.
Bernama melaporkan mesyuarat itu dipengerusikan oleh Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan tetapi enggan menemui pemberita atas alasan kesihatan.
Mengenai khabar angin Ariffahmi meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK dan juga peletakan jawatan seorang Exco kanan kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam blog tertentu, beliau berkata: “Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini).”
Pada mesyuarat itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Husam Musa tidak hadir dan dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital atas sebab kesihatan.
Malah semalam Husam memberitahu The Malaysian Insider bahawa sudah ada konspirasi untuk menggulingkan beliau dari pentadbiran kerajaan negeri.
Husam kini merupakan Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal ekonomi.






Jawatan awam, seperti MB, mempunyai sekatan tertentu terhadap kebebasan penjawatnya untuk bertindak sesuka hati. Tajaan Haji untuk TGNA oleh penaja yang telah dapat kontrak daripada kerajaan Kelantan adalah jelas melanggar undang-undang. TGNA memang patut sekali membatalkan menunaikan Haji tahun ini.
Contoh yang ditunjukkan oleh TGNA adalah patut diikuti, Beliau sangat perihatin terhadap persepsi awam sungguhpun semua orang tidak meragui sama sekali tentang ketakwaan beliau.